Ada Apa Dengan Cinta???


Cinta itu aneh. Sukar untuk ditafsirkan. Datangnya bukan dari paksaan, perginya pula tanpa kerelaan. Cinta itu penuh mesra dengan kasih sayang. Ianya perlu dibelai dengan kelembutan bagi menyerikan lagi keindahannya. Kekasaran boleh mencipta sebuah perpisahan.

Cinta memerlukan keikhlasan dan kejujuran dan bukannya pengorbanan membuta tuli. Mereka yang sanggup berkorban demi cinta adalah orang yang tidak pernah memahami erti cinta sebenar.

Apabila manusia gagal mencintai Tuhannya, maka cinta sejati tidak akan ditemuinya.

03 November 2010

Menjaga Hati

Pasangan adalah 'sahabat' kita yang paling rapat dan setia. Tak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi. Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya. Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.

Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang terjadi. Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang lain.

Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, ujarnya; "Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang kepada orang dahulu". Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di sini ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.

Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara, tampil dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan dengan baik. Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.

Pertama: Paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik. Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan. Kata ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan harian, padahal lebih molek jika panggilan seperti 'sayang' atau 'abang' digunakan kerana itu boleh memupuk kemesraan. Seperti persahabatan, pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur. Perlu bersedia untuk memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan memerlukan. Jika salah seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain perlu mendengar dengan baik. Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.

Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar yang setia. Bila pasangan anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja, bersedialah untuk menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda itu walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu. Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.

Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk sebelah tangan. Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu perlu dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda. Jika ada sahabat lain yang mengutuk pasangan anda di belakangnya, andalah orangnya yang penuh yakin untuk menjadi pembela pasangan anda itu. Tetapi jika memang pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah bahawa anda tidak selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan yang sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak mengecilkan hatinya. Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari. Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak. Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah tersebut.

Keempat: Laburlah sedikit wang untuk penampilan anda, tak kira sama ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit, berbaju baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar. Namun percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan anda. Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan perlulah sama-sama mengambil berat tentang penampilan anda. Kebersihan harus dijaga dan perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan pastikan anda melakukannya ikhlas untuk pasangan anda. Jangan bila hendak ke kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih penting untuk dijaga.

01 November 2010

Andai Cinta Hendak Diberi

"Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti"
 
Itulah sedikit dari bait - bait lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yg sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang...

1-Kuat agamanya.
Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

2-Baik akhlaknya.
Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak -ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

3-Tegas mempertahankan maruah.
Pernahkah dia menjengah ke tempat - tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

4-Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

5-Tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

6-Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

7-Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, dan dia tak amalkan cara hidup bebas.

8-Rakan pergaulannya.
Rakan - rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

9-Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibubapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab

10-Tenang wajah
Apa yang tersimpan di dalam sanubari kadang - kadang terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika dicintai calon yang demikian sifatnya...
Ya Allah, mampukah aku mendapat keredhaan-Mu dan naungan-Mu di Padang Masyhar kelak...

10 August 2010

Doa Buat Kekasih Hati

Dengan nama Allah,
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah...
Seandainya telah Engkau catatkan,
Dia milikku tercipta buatku,
Satukanlah hatinya dengan hatiku,
Titipkanlah kebahagiaan antara kami,
Agar kemesraan itu abadi ...

Ya Allah...
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi,
Seiringkanlah kami melayari hidup ini,
Ketepian yang sejahtera dan abadi,
Maka jodohkanlah kami...

Tetapi Ya Allah...
Seandainya telah Engkau takdirkan,
Dia bukan milikku,
Bawalah dia jauh dari pandanganku,
Luputkanlah dia dari ingatanku,
Dan peliharalah aku dari kekecewaan...

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...
Berikanlah aku kekuatan,
Menolak bayangannya jauh ke dada langit,
Hilang bersama senja yang merah,
Agar ku sentiasa tenang,
Walaupun tanpa bersama dengannya...

Ya Allah...
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu,
Sesungguhnya apa yang telah Engkau Takdirkan,
Adalah yang terbaik untukku,
Sesungguhnya Engaku Maha Mengetahui,
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini...

Ya Allah...
Cukupkanlah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku,
Di dunia dan di akhirat,
Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang daif ini,
Janganlah Engaku biarkan aku bersendirian,
Di dunia ini mahupun di akhirat,
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dankemungkaran,
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman,
agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup,
Ke jalan yang Engkau redhai,
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah...

Ya Allah...
Berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat,
Dan peliharalah kami dari azab api neraka,

AMIN... AMIN... AMIN...
YaRabbal'aalamiin...

05 February 2010

Yang Bernama Cinta

Orang bijak dan budiman sejak zaman ke zaman pernah mengatakan bahawa cinta adalah sendi segenap keutamaan di dunia ini. Kalau tiada cinta, nescaya nilai kemanusiaan akan hancur. Orang yang bercinta tidak pernah khianat kepada orang yang dicintainya, tidak pernah menyakiti dan tidak pernah mengecewakan.

Filem Mohabbatein memaparkan bagaimana kekuatan cinta berjaya menundukkan ego seorang ayah dan sekali gus seorang pengetua yang membenci cinta.

Cinta memang perasaan yang menakjubkan. Ia ibarat sebuah barang antik, suatu benda lama yang sentiasa baru dari zaman ke zaman dalam hidup manusia. Lebih daripada itu, cinta itu lebih tua daripada alam kerana atas dasar cintalah Tuhan menjadikan alam ini.

William Shakespeare pernah berkata: "Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta." Malah cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, berendam dalam dada dan mengharap pemberian kepada yang satu.

Ya, hampir semua manusia pernah hidup di bawah langit cinta. Ia mempesona dan mewarnai pelbagai wajah. Ia menghiaskan kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta itulah madunya.

"Semakin banyak engkau memuntahkan kata-kata tentang cinta, semakin sepi hatimu dan semakin engkau gilakan cinta. Tiada kisah teramat manis daripada kisah cinta. Tiada kisah teramat ngeri daripada putus cinta. Yang termanis daripada yang manis di dunia ini ialah pujian kekasih yang terlontar daripada rasa cintanya," demikianlah kata-kata orang bijak yang memang kita percayai dan tersemat dalam jiwa kita yang terdalam.

Namun ingat bahaya cinta: cinta monyet ialah cinta keanak-anakan, cinta palsu sekadar basa-basi atau penghormatan, cinta saku merosak saku menguras wang. Oleh itu, 'bercintalah' dengan sepenuh hati kerana cinta sejati sajalah yang akan menghasilkan cita-cita luhur dan abadi. Cinta sejati memang tidak terungkap dengan kata-kata kerana ia menghiasi perbuatan 'pencintanya'.

Lihatlah dan renungilah kata-kata Bung Karim tentang cinta: "Cinta kepada harta bererti bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup, cinta kepada Tuhan ertinya takwa."

Atau renungi pula kata-kata Hamka: "Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan, menempuh onak dan duri penghidupan."

Sentuhan cinta semakin tersengat bahkan amat diperlukan dalam konteks sekarang, memandangkan sentuhan cinta kemanusiaan semakin terhakis dengan berlakunya peristiwa-peristiwa 'mencemaskan' umat manusia seperti keganasan global, perang tanpa henti, konflik antara umat yang mengaku beragama, seolah-olah membayangkan sentuhan cinta sesama manusia telah 'tercabut' daripada jiwa terdalam manusia. Walhal cinta itu adalah jiwa, di antara cinta sejati dengan jiwa tidak dapat dipisahkan, kerana cinta pun merdeka sebagaimana jiwa.

Ia tidak membezakan di antara yang kuat dan lemah, di antara kaya dan miskin bahkan antara darjat dan bangsa. Tetapi inilah yang kita saksikan di merata dunia.

Manusia membunuh, menindas demi memenuhi cinta palsu atas nama kemanusiaan, sedangkan cinta sejati sesama manusia semakin dilupakan, apatah lagi cinta sebenar terhadap Tuhan. Manusia lupa kata-kata ahli fikir Islam, Al-Farabi bahawa cinta yang ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu sebenarnya adalah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk binatang. Bak kata Hamka lagi: "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."

22 January 2010

Petua Kekal Dalam Cinta

Anda mungkin tidak mempercayainya, tapi merupakan nasihat yang baik untuk dibaca!
Anda mungkin mempelajari sesuatu jika membacanya!!!

PERTAMA
Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.

KEDUA
Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting pabila usia semakin tua.

KETIGA
Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu

KEEMPAT
Apabila kamu berkata, ‘ Aku Cinta Padamu’, maka tunaikanlah.

KELIMA
Pabila mengatakan, ‘Maaf’, tenunglah matanya.

KEENAM
Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.

KETUJUH
Percayailah cinta pandang pertama.

KELAPAN
Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.

KESEMBILAN
Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.

KESEPULUH
Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.

KESEBELAS
Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.

KEDUA BELAS
Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.

KETIGA BELAS
Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya,’Kenapa anda ingin tahu?’

KEEMPAT BELAS
Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.

KELIMA BELAS
Ucaplah ‘Semoga anda diberkati’ apabila mendengar seseorang bersin.

KEENAM BELAS
Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.

KETUJUH BELAS
Berpeganglah kepada tiga R:
1. Rasa hormat pada diri sendiri;
2. Rasa hormat kepada orang lain;
3. Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda

KELAPAN BELAS
Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar.

KESEMBILAN BELAS
Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.

KEDUA PULUH
Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.

KEDUA PULUH SATU
Ada ketikanya anda perlu bersendirian.